RSS

Berputarlah engkau

Setiap orang punyai jalan hidupnya sendiri. Ada yang lahirnya dulu sebagai seorang anak raja. Ada yang lahirnya ia ke dunia sebagai anak petani. Ada yang mula hidupnya seorang bayi yang kurang upaya. Ada yang yatim piatu tanpa ibu bapa. Tak kisahlah, dari mana permulaanmu, kau sudah berada di perjalanan.

Semuanya ada permulaan masing-masing. Dari permulaan itulah bermulanya satu perjalananan yang tiada siapa yang tahu liku hidupnya yang mendatang. Kita bukan Tuhan yang tahu apa yang akan berlaku di masa hadapan. Roda kehidupan akan terus berpusing, mengikut jalan masing-masing. Roda yang kian usang berputar melalui jalan pilihan pemandunya. Ada roda yang melalui jalan yang benar, ada yang tersesat, tanpa tahu mana tujuan. Roda tetap terus berpusing. Berpusing dan terus berpusing, meniti jalan kehidupan, yang entah bila akan berhenti.

Roda yang jalannya aman, tanpa banyak aral mengganggu, terus berputar megah sepanjang perjalanan. Menuju destinasi yang cerah, aman dan bahagia. Tanpa perlu ada risau. Kerna ia tahu, ia tiada masalah. Pemiliknya mungkin saudagar kain, mungkin jua hartawan, mungkin jua anak keturunan raja.
Kasihan roda yang melalui semak samun kehidupan. Melalui jalan penuh berduri. Melintasi sungai derita. Tidak kurang juga yang melalui lembah duka.Ada yang terus melalui perjalanan sengsara penuh air mata sesal. Mengharungi liku penuh bahana.Sampai satu detik, roda terhenti, teru berhenti tanpa ingin terus berputar. Tinggallah ia di ceruk yang entah di mana. Hapus dimamah anai-anai. Tinggallah sisa yang kelaknya tiada siapa yang sedar.

Namun, aku kagum pada roda yang jalan mulanya penuh halangan. Jalannya bengkang bengkok, seringkali berdepan binatang buas.Namun ia tidak terus berhenti, Beloknya ke sana sini, dengan harapan, jumpalah ia dengan jalan yang membawa ia ke lembah sungai yang cantik, keluar dari derita perjalanan, mungkin jua ke kota urban yang penuh dengan kemodenan. Kerapkali jua ia berhenti seketika namun dengan keringat dan harapan yang membukit, roda tetap terus diputarkan. Kesian kulihat pada roda yang jelas retaknya. Kerapkali jua dibaikinya roda buruk itu. Perjalanan tetap diteruskan.

Berputar terus roda itu melalui selok belok kehidupannya yang entah adakah sinar harapan di penghujung jalan. Ribut pun digagahi jua, panas terik mentari pun diterusi jua.

Biarpun roda itu berputar bersama roda-roda kasihan yang lain, hakikatnya, roda itu tetap sendiri. Sendiri meneruskan perjalanan di saat roda-roda lain sibuk dengan jalan masing-masing. Tiada yang menunggu, Malah ada yang cuba menghentikannya. Kuat atau tidak roda itu, terpulang pada pemiliknya.

Cemburu pada roda yang senang. Cuba membanding-bandingkan apa beda antara roda-roda itu. Masing-masing berputar. Masing-masing jua roda yang sama miripnya. Bulat, cuma ada yang buatannya unik, ada juga buatannya tampak mewah, juga ada yang bentuknya mudah. Tapi kenapa perlu melalui jalan yang berbeza? Kenapa perlu ada yang jalannya tiada payah? Kanapa ada yang sedikit pun celanya tiada? Berbanding roda yang lain, retak, penuh calar, bentuk pun sudah tidak sekata.

Semakin terus ia membandingkan dengan roda-roda yang lain, semakin perlahan ia berputar, berputar kecewa mengenang nasibnya yang tidak seindah roda-roda mewah yang lain. Di beloknya ke kanan, jalan usang penuh dengan sampah-sampah kehidupan. Di beloknya ke kiri, jalannya penuh dengan binatang buas. Di beloknya lagi, jalan dengan becak, lumpur-lumpur hitam di sepanjang perjalanan.

Kasihan pada roda itu. Sampai bila jalanannya perlu begitu? Roda kian usang. Putarannya tidak semegah dulu. Putarannya perlahan.

Tapi siapa tahu. Perjalanan masih perlu diteruskan. Masih panjang. Bertahanlah roda, jalananmu yang tiada cemar, bersih dan tiada halangan pasti bakal menyusul. Entah kenapa aku ridau akan roda itu. Roda itu semakin keliru jalan mana yang ia perlu ambil. Jalan ini, mungkin bahaya di depan. Jalan ini, mungkin ada penyamun menyusup di celahan lalang. Pilihan perlu betul. Tersilap pilih, binasa engkau, wahai roda.

Aku terus risau, panik melihat akan kondisi roda itu.

Roda, engkau perlu bertahan.Walau apa jua akhir perjalanan mu, Kau kena ingat, Tuhan ada bersamamu. Mungkin engkau tidak dapat menuju syurga dunia, syurga akhirat bakal menanti.

Bertahanlah.



0 comments:

Catat Ulasan